Harris

Salina dan Sabrina adalah kedua puteri hasil perkahwinan Harris dan Maya yang dibina atas dasar cinta sepuluh tahun lalu. Salina lahir setahun selepas perkahwinannya dan Sabrina menyusul pada tahun berikutnya. Keduanya lahir secara songsang dan selepas itu Maya enggan melahirkan lagi. Harris harus cukup berpuas hati dengan jumlah anaknya yang sedikit meskipun dia mengimpikan punya ramai keturunan. Dia adalah anak tunggal dari perkahwinan ayahnya seorang lelaki Inggeris dan ibunya seorang Scottish. Sejak kecil dia tidak mempunyai adik-beradik dan dia selalu iri pada teman-temannya yang mempunyai keluarga besar yang baginya sangat meriah dan seronok. 

Miri, Sarawak 1968


            Harris membenahi beg bimbitnya dengan kadar selaju yang boleh. Jam sudah menunjukkan ke angka 4 petang, lebih sepuluh minit. Hari ini adalah hari ulang tahun puteri bungsu manjanya, Sabrina. Sabrinanya yang manis, lucu, nakal dan keras kepala itu akan menyambut ulang tahunnya yang ke lapan hari ini. Dia sudah berjanji akan pulang awal dan meraikan hari berbahagia itu bersama keluarganya. Majlis sambutan kecil-kecilan akan diadakan pada jam 5 petang. Isterinya, Maya, sudah memanggil beberapa tetamu jemputan untuk majlis tersebut. Jemputan agak terhad dan hanya terdiri dari kalangan mereka yang berada selingkungan dengan kelas mereka. Maya agak cerewet dalam memilih tamu.

Intrologi : 2012, Bandung, Indonesia

            Sabrina duduk meneleku di atas pesawat peribadi miliknya dengan pandangan kosong keluar tingkap. Tidak ada apa di luar sana kecuali gelap yang memekat dan deretan lampu yang menguasai landasan kapal terbang. Kelihatan beberapa pekerja landasan berlari ke sana ke sini sambil membawa bendera kecil berwarna putih. Isyarat kecemasan sudah diumumkan sejak petang tadi. Ribut petir dan angin kencang dijangka bertiup lewat tengah malam yang akan membahayakan penerbangan. Awan Kumulus tebal sudah menutupi separuh langit menjadikan penerbangan itu kelihatan sangat mustahil. Kesemua syarikat penerbangan sudah menangguhkan perkhidmatan masing-masing. Sabrina sendiri maklum hal tersebut. Juruterbang peribadinya juga sudah jenuh menasihatinya. Namun Sabrina tetap berdegil untuk pulang ke rumahnya sepertimana yang telah dijadualkannya. Rumahku, bisik Sabrina. Aku rindu rumahku. Tidak ada seorang pun atau apapun yang dapat menghalangiku untuk pulang ke rumahku sendiri. Tidak ribut. Tidak juga takdir.