Salina dan Sabrina adalah kedua puteri hasil perkahwinan Harris dan Maya yang dibina atas dasar cinta sepuluh tahun lalu. Salina lahir setahun selepas perkahwinannya dan Sabrina menyusul pada tahun berikutnya. Keduanya lahir secara songsang dan selepas itu Maya enggan melahirkan lagi. Harris harus cukup berpuas hati dengan jumlah anaknya yang sedikit meskipun dia mengimpikan punya ramai keturunan. Dia adalah anak tunggal dari perkahwinan ayahnya seorang lelaki Inggeris dan ibunya seorang Scottish. Sejak kecil dia tidak mempunyai adik-beradik dan dia selalu iri pada teman-temannya yang mempunyai keluarga besar yang baginya sangat meriah dan seronok.
Kedua orangtuanya bercerai semenjak usianya 6 tahun dan dia mengikuti ibunya berpindah dari kota London ke Scotland. Ibunya tidak pernah berkahwin lagi selepas itu begitu juga ayahnya. Neneknya mewarisi ladang kambing biri-biri dari leluhurnya di Loch Lomond , yang kemudiannya diperturunkan dari generasi ke generasi. Mereka tinggal di sebuah rumah ladang yang cukup luas dan besar untuk mereka bertiga iaitu dia sendiri, ibunya Madam Elizabeth dan nendanya, Madam Josephine. Selain mereka, Mama Thomas, seorang pekerja berkulit hitam dan anaknya Jack, Jackson Smith juga tinggal di situ, membantu mereka menguruskan ladang dan rumah. Mereka punya ramai pekerja ladang yang ditempatkan di tengah ladang yang mereka panggil sebagai asrama pekerja. Anak-anak ladang adalah teman sepermainan Harris, selain Jack, tentu saja yang merupakan sahabat terbaiknya. Jack tidak dibenarkan ke sekolah kerana perbezaan warna kulit lalu Harrislah yang mengajarnya mengenal alphabet. Sebagai gantinya, Jack mengajarinya meniup seruling dan mengembala kambing, juga mengajar tentang cara memanjat pohon dan mengenderai kuda.
Ketika usianya mencecah 18 tahun, dia melanjutkan pelajaran ke London dan di situlah pertama kalinya dia bertemu dengan ayahnya, setelah belasan tahun berpisah. Ayahnya waktu itu bekerja disebuah syarikat carigali minyak petroleum yang berpusat di London yang kemudiannya ditugaskan ke Borneo untuk susulan perkhidmatannya. Namun hubungan mereka tidak terputus kerana mereka saling berutus surat sebagai penyambung hubungan.
Harris tidak sabar menghabiskan pengajiannya agar dia dapat menjejak ayahnya ke Sarawak. Ayahnya sering menceritakan betapa indahnya negeri itu dengan kepelbagaian budaya dan adat. Namun bukan itu alasan kuat bagi Harris untuk meninggalkan bumi Scotland yang begitu indah dan tenang itu. Alasan utama baginya ialah kerana dia tidak begitu berminat mengurus ladang ternakan yang baginya kurang mahir diandilkannya. Bagi Harris, Jack adalah orang yang lebih layak memikul tanggungjawab itu kerana ladang dan Jack adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan. Harris menangguh keinginannya hingga mendapat restu dari ibu dan neneknya. Lagipula, keadaan di tanah Sarawak agak huru-hara waktu itu lantaran pemberontakan rakyat tempatan kepada penjajahan orang kulit putih. Hanya saja setahun selepas Tanah Melayu merdeka, nasib seakan menyebelahinya. Ayahnya diberitakan menderita sakit misteri dan perlu dibawa pulang semula ke London untuk rawatan lanjut. Harris segera menyusul ayahnya ke sana namun dia agak terlambat. Ayahnya meninggal dua jam sebelum dia sampai. Mayatnya dikirim ke Scotland, atas permintaan ibunya dan dikuburkan di sana. Mr. Charles menawarkan kekosongan jawatan itu kepadanya dan Harris tidak berfikir dua kali untuk menerimanya.
Sejarah kehidupannya menjadikan Harris lebih memahami jiwa pemberontak Sabrina. Dia memaklumi kesunyian yang dirasai anak kecil itu dan dia memahami sikap Sabrina yang lebih terbuka dalam mencari kawan. Namun, keadaan di tanah lapangan ini tidak sama dengan keadaan di ladang tempat dia membesar dulu. Sungguhpun kedudukan mereka adalah sama sebagai majikan, namun perbezaan yang amat ketara adalah rakyat tempatan masih belum dapat menerima kuasa jajahan yang telah berlaku pada diri mereka selama beratus tahun. Keadaan ini mungkin tidak dirasai Salina kerana wajahnya yang lebih bercirikan tempatan. Salina memiliki kulit dan rambut Maya. Hanya saja hidung dan matanya adalah warisan keturunan Harris. Salina juga lebih bersifat keperempuan dan lebih betah berada di rumah sejak kecil. Salina lebih mudah dibentuk. Masanya lebih banyak dihabiskan dengan bermain biola dan melukis. Anak gadisnya seorang itu lebih penurut dan agak pendiam berbanding Sabrina yang kelihatan sangat kontras dari serba serbi.
Sabrina bukan saja berbeza sifat tapi juga berbeza dari segi fizikalnya. Wajahnya lebih kepada keluarga Harris dengan kulit seputih salju dan warna rambut yang agak keperangan. Dia mewarisi warna mata dan hidung Harris. Satu-satunya yang membuatnya agak berciri tempatan adalah tubuhnya yang agak kecil seperti Maya. Sungguhpun usianya yang sudah menjangkau lapan tahun, namun Sabrina masih kelihatan seperti kanak-kanak berusia enam tahun. Berbeza dengan Salina yang lebih penurut, Sabrina lebih bersifat keras kepala, berkeinganan keras dan mustahil ditundukkan. Dia enggan menurut cakap dan membenci peraturan. Dia tidak mahu diatur pakaiannya, mahupun cara makannya ataupun cara percakapannya. Dia melakukan sesuatu atas kehendaknya sendiri. Dia juga enggan berkumpul dengan anak-anak selingkungan dengannya untuk ke majlis harijadi mahupun ke kelas muzik. Dia tidak punya teman perempuan kecuali Salina yang sering diajaknya bertengkar.Teman-temannya hanyalah dari kalangan anak pekerja bawahan yang kesemuanya lelaki. Ketika dia mulai bersekolah, dia menolak untuk masuk ke sekolah inggeris tetapi berkeras untuk masuk ke sekolah rakyat yang disediakan untuk orang tempatan. Sudah tentu Harris menolak permintaannya kerana tenaga pengajar di sekolah tersebut adalah terdiri dari rakyat tempatan yang tidak punya pengalaman mengajar yang sewajarnya.
Kalau dulu, Harris punya banyak masa untuk diluangkan bersama Sabrina sekadar untuk berkongsi cerita tentang kehidupan masa kecilnya dan pekerjaannya. Dan Sabrina akan mendengarnya dengan penuh minat lalu akan memintanya mengulang cerita yang sama pada lain waktu. Sabrina mengingatkannya pada Jack, lalu rasa rindu untuk bertemu dengan sahabatnya itu pun mula membuak-buak.
“Daddy, ceritalah lagi pasal Mama Thomas waktu dia jatuh dari pohon ketapang,”
“Daddy, ceritalah pasal sejarah istana Edinburgh....saat Jack mengajarmu meniup seruling...atau saat kau dimarahi kerana mengajar Jack membaca?
Harris akan menceritakannya lagi dan Sabrina menyintai setiap satu ceritanya hingga dia bersumpah akan pergi ke tempat itu suatu hari kelak.
Namun suatu hal yang paling Harris tidak tahan apabila Sabrina mula menanyakannya soalan-soalan yang tidak pernah dapat dijawabnya sendiri;
“Daddy, bagaimana agaknya rupa Jack sekarang? Adakah dia punya anak? Dan mahukah anaknya berteman denganku?”
“Daddy, bila kita akan pulang ke sana dan menjenguk nenek dan moyang? Apakah mereka masih hidup?”
“Daddy, apakah aku akan mewarisi ladang itu suatu hari nanti? Aku tak suka hidup di lapangan yang berbau minyak. Aku suka pada ladang yang luas dan tasik yang biru. Juga pada puncak gunung Scotland yang dilitupi ais di awal pagi. Pasti indah dan aku tak perlu lagi dimarahi mommy kerana bermain bola di padang pasir yang gersang dan kotor,”
Bila begitu, Harris hanya mampu memeluk Sabrina dengan air mata yang ditelannya terus ke jantungnya. Dia sendiri sudah rindu sekali pada bumi Scotland, ibu, nenek, ladang, Mama Thomas dan Jack. Semenjak berpindah ke sini, mereka sudah terputus hubungan. Kali terakhir dia berutus surat saat dia memberitahu ibunya bahawa dia tidak akan kembali ke sana dan akan meneruskan perjuangan mendiang ayahnya di sini. Tiada jawapan diterimanya. Pasti mama marah sekali padanya. Hanya surat Jack yang menyusul dengan tulisan yang bercampur antara huruf besar dan huruf kecil setahun selepas itu. Jack memberitahu bahawa neneknya sudah meninggal dan hanya tinggal mereka yang menguruskan ladang. Wabak penyakit datang melanda dan sudah banyak binatang ternakan yang menjadi korban. Namun Jack memintanya agar tidak mengkhuatiri hal tersebut kerana ia adalah perkara yang biasa berlaku. Harris tidak pernah membalas surat itu tanpa alasan yang kuat kenapa dia melakukannya. Dia percaya Jack boleh mengatasi hal itu dengan baik.
Namun, semenjak tiga tahun belakangan ini Harris tidak punya waktu lagi untuk Sabrina, bahkan untuk keluarga dan dirinya sendiri. Kepupusan bekalan minyak di daratan Wilayah Baram adalah suatu hal yang amat merisaukan syarikatnya. Tugasnya sebagai ketua operasi menuntutnya untuk terus berusaha memastikan bekalan itu sentiasa ada. Nasib ratusan rakyat tempatan yang bekerja di lapangan minyak adalah bergantung kepada syarikat mereka. Setelah lebih 58 tahun berkhidmat menyediakan bekalan, akhirnya Bukit Kanada mengalah juga. Kalau bekalan terus pupus, maka seluruh pekerjanya akan kehilangan mata pencarian. Dia sendiri agak mengkhuatiri kedudukannya sendiri. Sungguhpun Mr.Charles sudah berjanji akan memberikan posisi yang baik pada operasi pesisir luar pantai yang baru mereka terokai, namun Harris juga tahu bahawa itu bukanlah jaminan terbaik. Ada ramai lagi orang sepertinya yang baru didatangkan dari London untuk menjawat posisi tersebut. Jika dia gagal mempertahankan kedudukannya, maka kehidupannya dan keluarganya pasti tidak akan mewah lagi seperti hari ini. Maya pasti tidak lagi dapat berbangga dengan kebaya ketat dan jamuan minum petangnya. Maya sudah membentuk dirinya sebagai wanita inggeris dan membuang hampir sebahagian diri tempatannya. Dia begitu membanggai dirinya yang mampu menjadi madam kepada seorang ketua operasi yang menjadikan kelasnya lebih baik dari wanita-wanita lain di daerahnya sendiri. Salina pula pasti tidak punya kesempatan lagi untuk ke kelas belajar biola yang mahal itu dan Sabrina? Ya, apa kesannya semua itu pada Sabrina kalau ia benar-benar berlaku?
Terkadang, terfikir di benak Harris untuk berhenti saja kerja dan pulang semula ke dunia sesepi Loch Lomond. Daerah itu dan kembangan bunga daffodilnya seakan menggamit kepulangannya dengan tangan yang merentang luas. Namun, hatinya berat meninggalkan bumi Sarawak. Dia tidak dapat membayangkan kehidupannya di ladang kelak dengan kambing biri-biri yang degil dan padang rumput yang luas. Kehidupannya ada di sini. Bau minyak yang melekit dan bunyi kabel derrick yang melantung setiap detik bagaikan untaian muzik di telinganya yang sudah sebati dengan dirinya. Adakah ini perasaan kedua orang tuanya hingga mereka mengambil keputusan untuk berpisah? Dan Sabrina mewarisi darah neneknya yang begitu menyintai rumput hijau dan tasik biru yang aman.