Harris membenahi beg bimbitnya dengan kadar selaju yang boleh. Jam sudah menunjukkan ke angka 4 petang, lebih sepuluh minit. Hari ini adalah hari ulang tahun puteri bungsu manjanya, Sabrina. Sabrinanya yang manis, lucu, nakal dan keras kepala itu akan menyambut ulang tahunnya yang ke lapan hari ini. Dia sudah berjanji akan pulang awal dan meraikan hari berbahagia itu bersama keluarganya. Majlis sambutan kecil-kecilan akan diadakan pada jam 5 petang. Isterinya, Maya, sudah memanggil beberapa tetamu jemputan untuk majlis tersebut. Jemputan agak terhad dan hanya terdiri dari kalangan mereka yang berada selingkungan dengan kelas mereka. Maya agak cerewet dalam memilih tamu.
Memang sudah sejak dari tadi Harris berusaha menyudahkan kerjanya agar dia boleh pulang awal seperti yang dijanjikannya. Semenjak kelmarin, dia telah membahagikan kerja kepada pekerja bawahannya di lapangan. Bekerja di lapangan telaga minyak menuntut komitment yang lebih, apalagi semenjak bekalan petroleum daratan benar-benar sudah semakin menyurut sejak akhir-akhir ini. Mereka perlu bekerja lebih kuat, mengorbankan lebih banyak masa dan menggerudi lebih dalam untuk meneruskan usaha pencarigalian bekalan minyak. Bukit Kanada ini sudah berjasa sejak berkurun lamanya dan barangkali keghairahan meneroka emas hitamnya sudah sampai ke penghujung. Usaha melapis bekalan ini sudah dilanjutkan ke bahagian luar pesisir yang memungkinkan persaingan pekerjaan dan perjawatan. Harris perlu melebihkan usahanya untuk memastikan posisinya hari ini tidak tergugat oleh saingan baru yang menantinya kelak.
Tapi tidak hari ini, fikir Harris getir. Hari ini adalah hari penting baginya dan tidak ada satu pun yang akan melebihi betapa pentingnya hari ini dalam hidupnya. Dia mengunci beg bimbit hitam hadiah dari ibunya, Madam Elizabeth ketika dia mula ditugaskan di bumi Sarawak ini sepuluh tahun lepas. Itu adalah kali terakhirnya dia melihat ibunya dan hingga hari ini tidak pernah pulang lagi ke Scootland lantaran tuntutan kerja dan keluarga.
Harris berusia 38 tahun dengan bentuk tubuh yang tinggi dan kekar. Ayahnya seorang British yang bekerja di syarikat Shell dan merupakan antara yang pertama berpindah ke tanah Sarawak di awal tahun 1910, saat pelantar minyak daratan pertama di bina di kawasan itu. Harris mengikuti jejak ayahnya begitu ayahnya pulang ke Scootland setelah bersara. Dia adalah seorang yang mencintai keluarganya melebihi dirinya sendiri. Wajahnya terkesan tampan tapi sedikit angkuh namun kelihatan sangat ramah begitu bibirnya menarik senyum. Sepasang matanya berwarna coklat bagai kacang hazel yang sedang ranum masak akan menyipit begitu dia ketawa. Rahangnya persegi dengan dagu yang agak sedikit tajam dan persegi. Ketampanan itulah yang diwariskannya pada kedua keturunannya pula, Salina dan Sabrina.
Suatu hal yang merisaukan Harris adalah kerana dia belum berkesempatan ke bandar Miri untuk membelikan hadiah untuk si kecil manisnya itu. Tapi menurut Sabrina ketika ditanya semalam, dia tidak mahu ayahnya membelikannya apa-apa sempena ulang tahunnya kali ini. Namun Harris curiga kalau Sabrina punya permintaan lain. Tidak selalu anaknya itu tidak menuntut apa-apa darinya. Pasti Sabrina punya rencana lain, fikirnya. Tapi dia tidak punya masa untuk berfikir tentang itu.
Begitu selesai, Harris segera berjalan menuju ke pintu di ruang pejabatnya. Tangannya segera mencapai tombol pintu, memutarnya dan membuka pintu itu seluasnya agar dia boleh keluar dari situ dengan bebas. Dia menutup pintu pejabatnya agak kuat hinggakan bunyinya mengejutkan beberapa pekerja kerani yang sedang sibuk di depan mesin taip. Dia menunduk hormat tanda meminta maaf lalu bergerak lagi melalui lantai pejabat menuju ke pintu keluar. Saat tubuhnya bergerak menyeberangi pintu utama, dia bertemu dengan Mr.Charles, majikan di atasnya yang kebetulan ingin masuk ke ruangan pejabat. Dia sudah memaklumkan Mr.Charles bahawa dia akan mengambil cuti setengah hari hari ini.
“Hey, Mr.Harris. Ready to go home now?”
“Yes, sir,”
“Send my regards to your daughter, eh? Did she told you what she wants this time?”
“No, not yet,”
“Don’t tell me that she wants to climb up the tower like the year before. Or, isn’t she?” balas Mr.Charles ketawa. Seketika Harris tertegun. Baru dia teringat ketika ulang tahun ke 7, Sabrina juga tidak memintanya membelikan sebarang hadiah. Dia hanya ingin dibenarkan untuk mendaki menara kayu Wanita Tua di Bukit Kanada yang berukuran setinggi 87 meter itu. Menara itu telah dibina semenjak tahun 1910 oleh McAlpine, seorang warga Kanada setelah Dr Josef Erb, seorang ahli geologi mendapati kawasan itu kaya dengan emas hitam. Kedudukannya yang berada tepat di atas puncak bukit menyediakan pemandangan indah terus ke Laut China Selatan. Harris sering menceritakan keindahan itu pada Sabrina menjadikan gadis cilik itu begitu teruja ingin menikmati pemandangan itu sendiri.
“I really hope not, Mr.Charles,” tingkah Harris mengusir keraguannya. Dia lalu meminta diri dan bergegas menuju ke keretanya yang dibelinya secara tunai dari majikannya. Kereta Toyota Corolla warna hitam model tahun 1960-an itu sudah sedia menunggunya.
Harris memandu selaju mungkin meski jarak tempat kerjanya dengan tempat tinggalnya tidaklah sebegitu jauh. Pihak majikan sudah menyediakan tempat tinggal di kawasan terdekat khusus untuk semua pekerja lapangan. Tempat tinggal itu pula dibahagikan mengikut jawatan dari yang lebih tinggi kepada yang lebih rendah. Pegawai sepertinya ditempatkan di kawasan atas bukit sementara di bawah bukit pula adalah rakyat tempatan yang berkerja di kawasan lapangan.
Ketika dia sampai ke rumah batu dua tingkatnya yang telah ditempatinya sejak mula tinggal di situ, beberapa tetamu sudah hadir dan memenuhi ruang koridor dan ruang tamu. Harris melirik jam tangan yang dibelinya di London semasa tahun terakhir pengajiannya di sana. Dia merasa lega kerana dia belum terlewat. Hanya saja tetamu yang terdiri dari kalangan wanita itu hadir lebih awal. Maya berdiri di antara tetamu tersebut. Dia kelihatan sangat anggun dengan kebaya johor ketat dari kain linen yang dihiasi labuci di sekitar dada dan lengan. Kainnya berpotongan serong depan menampakkan hampir seluruh betisnya yang panjang dan berbentuk bagai padi buting. Maya berkulit putih cerah dengan mata sedikit besar dan layu persis keturunannya yang berbangsa Melanau, Sarawak. Senyumnya bagaikan sehiris bulan yang muncul di awal bulan dengan lesung pipit di sebelah dagu kirinya. Harris terus saja jatuh cinta begitu pertama kali melihatnya tatkala Maya sering singgah memberikan bekalan makanan kepada ayahnya yang bertugas di lapangan. Harris melamarnya tiga bulan selepas pertemuan rahsia mereka dan setelah memeluk agama Islam, tidak ada lagi yang mampu menghentikan cinta mereka, sehinggalah ke hari ini.
Maya segera datang menghampiri Harris, memberikan ciuman selamat pulang ke pipinya dan mengambil beg bimbit Harris untuk di bawa masuk. Seketika Maya menatapnya dengan pandangan yang membuat Harris segera mengerti bahawa ada sesuatu yang tidak beres berlaku. Harris menegur jemputan dengan ucapan basa-basi sebelum mengikut Maya masuk ke dalam bilik.
“Ada apa? Mana Sabrina?” tanya Harris begitu cuma tinggal mereka berdua di kamar tidur. Harris menukar bajunya kepada pakaian yang lebih santai.
“Itulah masalahnya. Aku tak tahu dia ke mana. Sedari tadi hilang. Aku tak punya masa mencari. Sudah ku suruh Apit mencarinya di tempatnya selalu bermain tapi dia tak ada di sana,” terang Maya dengan wajah cemas. Apit adalah tukang kebun yang sudah menjadi bahagian dari keluarga mereka.
“Sudah kau suruh dia cari di bawah bukit?” tanya Harris. Dia selalu mendapati Sabrina pergi ke kawasan bawah bukit tempat anak-anak pekerja bawahan lapangan bermain.
“Oh, tolonglah jangan bilang dia masih mahu bermain di situ. Telah kuperingatkannya banyak supaya kali jangan bercampur dengan orang-orang bawahan seperti itu,” Maya mengertak giginya penuh geram. Sabrina memang keras kepala. Tidak pernah mahu mendengar nasihatnya. Sudah seringkali dia mengingatkan anak kecil itu tentang perbezaan taraf antara mereka dan pekerja lapangan.
Harris menyudahkan kemasan bajunya terakhir, mencium pundak Maya dan bergerak menuju ke pintu. Dia sudah tahu ke mana harus mencari Sabrina. Pasti anak itu ada di situ bermain dengan anak-anak pekerja lapangan yang baginya lebih mencabar berbanding teman sebaya dan selingkungan dengannya yang bersifat lebih skema.
“Kau mahu ke mana?” tanya Maya begitu melihat Harris membuka pintu.
“Mencari Sabrinalah. Ke mana lagi?”
“Bawa dia pulang sebelum majlisnya dimulai. Dia sudah memakai gaun yang baru kau beli dari Singapore untuk majlis ini. Keterlaluan! Sudah tahu hari ini hari lahirnya masih lagi...” Maya terus berkicau tetapi Harris sudah tidak mendengarkannya lagi. Tanpa suara dia menuju ke keretanya, menghidupkannya dan menelusuri jalan-jalan berbatu ke bawah bukit Telaga. Setiap petang sehabis jam kerja, dia selalu melalui jalan itu sekadar untuk meninjau kawasan tempat tinggal pekerjanya. Waktu itulah dia sering melihat Sabrina berkumpul di kalangan anak pekerja lapangan bermain di padang bola kecil yang gersang tidak berumput.
Harris menghentikan keretanya dan mendapati Sabrina sedang berada di tengah perkelahian antara sekumpulan kanak-kanak lelaki. Sabrina sedang menduduki seorang budak lelaki yang sudah berada di celah kelangkangnya. Kanak-kanak lainnya sedang bersorak mengelilingi mereka. Begitu menyedari kehadiran Harris, mereka semuanya bertempiaran pergi. Sabrina cuba mengejar salah seorang dari mereka tapi segera ditahan Harris. “Sabar,Rina dan demi Tuhan, berhentilah,”
“Lepaskan, Daddy, lepaskan. Aku sudah mau menang tadi,” Sabrina memberontak keras. Lengannya dicengkam kemas oleh Harris.
“Kau takkan menang apa-apa kalau berlawan kekuatan dengan budak lelaki, Rina,”
“Daddy tak tahu. Daddy patut datang lebih awal tadi dan tengok betapa kuatnya aku,” bantah Sabrina berdegil.
“Daddy sudah tengok semuanya tadi. Cuma daddy tak tahu untuk apa kau harus menjadi lebih kuat dari mereka? Ha? Beritahu daddy, untuk apa?” Harris mula membentak dan meninggikan suaranya. Sabrina menghentikan pergerakannya. Dia terpekur melihat tanah. Seketika otaknya ligat berfikir. Ya, untuk apa?
Melihat Sabrina mula mengalah, Harris menarik nafas lega. Anaknya seorang ini memang susah diatur berbanding Salina yang lebih lembut dan penurut. Harris menatap gaun putih yang sepatutnya dipakai untuk majlis ulangtahunnya yang kini sudah bergelumang dengan tanah pasir dan lumpur. Separuh kulitnya yang terdedah juga sudah dicemari debu pasir termasuklah muka dan rambutnya.
“Your mom pasti akan gila melihatmu seperti ini,” keluh Harris kesal. Sabrina tertunduk kesal namun matanya masih belum mahu mengalah. Hanya saja dia merasa sangat menghormati ayahnya membuatnya segan untuk berkutik lagi.
“Mari kita ke rumah Pak Wan. Kita mandi di situ sebelum pulang. Kalau kau bernasib baik, mungkin dia masih menyimpan pakaian lamamu yang kau berikan pada Antia tahun lepas. Itu juga kalau pakaian itu masih muat ke badanmu sekarang,” kata Harris memimpin tangan Sabrina ke kereta. Tanpa suara Sabrina menurut. Pak Wan adalah ayah kepada Apit yang dulunya bekerja sebagai tukang kebun mereka. Semenjak kesihatan Pak Wan menurun, Apitlah yang menggantikannya. Mereka tinggal di kawasan bawah bukit dan di situlah Sabrina selalu membersihkan dirinya sebelum pulang kalau selesai bermain di kawasan itu.
Sabrina terus diam ketika berada di perut kereta. Harris cuba menenangkan keadaan dengan bercerita tentang itu dan ini. Hatinya merasa sedikit marah dengan perlakuan Sabrina yang dirasakannya keterlaluan. Namun dia tahu Sabrina tidak akan goyah dengan segala bentuk kekerasan. Sia-sia saja memarahinya kerana Sabrina tidak akan pernah mendengarkannya. Maya sendiri sudah sering memukulinya namun itu semua hanya menjadikan Sabrina semakin keras hati.
Mereka pulang setelah semuanya beres dan Sabrina sudah kembali cantik seperti saat dia meninggalkan rumah. Maya menyedari bahawa pakaian Sabrina sudah berubah dan itu adalah pakaian ulangtahun Sabrina tahun lepas yang sudah diberikannya pada anak Apit. Saiznya agak kecil sedikit untuk tubuh Sabrina yang mulai membesar. Namun Maya tidak punya waktu untuk marah kerana majlis segera dimulai begitu mereka sampai.
Malam itu, sewaktu Maya menghantar Sabrina dan Salina ke bilik tidur, Sabrina meminta diri untuk berjumpa dengan ayahnya di dalam bilik pejabat peribadinya di tingkat atas. Harris sedang mempelajari pelan kerja yang dilukis oleh arkitek carigali untuk mengkaji tempat baru bagi minyak daratan ketika Sabrina sampai. Begitu melihat Sabrina, dia tersenyum senang.
Sabrina berdiri antara celah pintu yang dibukanya sedikit. “Thanks for not telling mom about what happened. And sure, for keeping it as our secret,"
Harris ketawa lunak. Dia memberi isyarat agar Sabrina masuk ke biliknya dan duduk di ribaanya. Dia mengusap rambut Sabrina yang berwarna hitam keperangan yang sudah menceah paras pinggang.
“Apakah kau akan melakukannya lagi?”
“Apa?”
“Bergaduh dengan budak lelaki di lapangan dengan gaun ulang tahun?”
“Bergaduh dengan budak lelaki di lapangan dengan gaun ulang tahun?”
“Apakah aku boleh bergaduh dengan mereka kalau aku tidak memakai gaun ulangtahun?”
“Sebenarnya kau tidak boleh bergaduh dengan mereka walau pakaian apa pun yang kau pakai. Kenapa kau sering bergaduh dengan mereka?”
“Sebenarnya kau tidak boleh bergaduh dengan mereka walau pakaian apa pun yang kau pakai. Kenapa kau sering bergaduh dengan mereka?”
“Mereka memanggilku anak penjajah inggeris yang manja. Aku bukan anak manja dan Daddy juga bukan penjajah. Dan aku bukan anak inggeris sepenuhnya. Mummy juga anak Sarawak seperti mereka. Aku benci digelar anak inggeris,”
“Kerana itu mummy tidak membenarkanmu bermain di bawah sana. Mereka itu fikirannya kolot semua,”
“Aku tak suka bermain dengan Dona dan kawan-kawannya. Mereka bermain anak patung yang karut,”
Harris ketawa lepas. “Bukankah itu yang seharusnya dimain oleh anak-anak manis seusia denganmu?”
“Aku tidak mahu jadi anak manis yang cuma tahu bermain patung. Aku suka bermain dengan anak-anak pekerja lapangan kerana mereka lebih tahu apa yang dinamakan permainan. Tapi mereka tak suka padaku kerana aku anak inggeris,”
Harris termangu seketika. Dia lalu memeluk Sabrina dengan rasa bersalah. Dia mengakui perkahwinan campur belum dapat diterima lagi di bumi Sawarak yang masyarakatnya masih kental dengan budaya dan adat ini. Negara ini baru saja terbentuk 6 tahun lalu semenjak Sabah dan Sarawak bergabung dengan Tanah Melayu membentuk negara Malaysia. Beratus tahun tanah ini dijajah oleh bangsanya. Sudah tentulah trauma itu masih menebal dalam jiwa anak bangsa tempatan. Di negaranya saja apartisme dan emansipasi masih terus berluasa hingga menyebabkan pembunuhan dan pemberontakan. Tapi masalah ini tidak akan serumit yang dihadapi Sabrina kalau anak itu mahu mendengar kata. Namun Sabrina masih terlalu muda untuk mengerti perbezaan itu.
“Oya...” Sabrina berkata memecah hening. “Daddy belum memberikanku hadiah ulang tahun lagi tahun ini,”
“Ya. Kelmarin kutanya katamu kau tak mahu dibelikan apa-apa,”
“Betul. Itu kerana apa yang kumahu tak perlu dibeli,”
“Oya, jadi apa?”
“Aku masih menuntut hadiah tahun lepas. Aku masih mahu naik menara itu dan melihat seluruh negeri Sarawak dari atas sana,”
“Kau tahu jawapanku tidak,”
“Kalau begitu aku mahu kita semua pulang ke kampung daddy di Scotland. Mungkin di sana mereka mahu menerima aku sebagai inggeris,”
“Kau juga tahu itu terlalu mahal,”
“Kau juga tahu itu terlalu mahal,”
“Kenapa semua permintaanku susah dipenuhi?”tanya Sabrina hampir putus asa.
“Kerana kau selalu meminta yang bukan-bukan. Mintalah sesuatu yang logik dan mudah dicapai,” tingkah Harris penuh sabar.
“Kerana kau selalu meminta yang bukan-bukan. Mintalah sesuatu yang logik dan mudah dicapai,” tingkah Harris penuh sabar.
“Aku benci daddy!” teriak Sabrina tiba-tiba lalu berlari keluar bilik.
Harris hanya mampu memerhati hingga bayang Sabrina lenyap dari pintu yang kemudiannya dihempasnya dengan kuat sekali.