Sabrina duduk meneleku di atas pesawat peribadi miliknya dengan pandangan kosong keluar tingkap. Tidak ada apa di luar sana kecuali gelap yang memekat dan deretan lampu yang menguasai landasan kapal terbang. Kelihatan beberapa pekerja landasan berlari ke sana ke sini sambil membawa bendera kecil berwarna putih. Isyarat kecemasan sudah diumumkan sejak petang tadi. Ribut petir dan angin kencang dijangka bertiup lewat tengah malam yang akan membahayakan penerbangan. Awan Kumulus tebal sudah menutupi separuh langit menjadikan penerbangan itu kelihatan sangat mustahil. Kesemua syarikat penerbangan sudah menangguhkan perkhidmatan masing-masing. Sabrina sendiri maklum hal tersebut. Juruterbang peribadinya juga sudah jenuh menasihatinya. Namun Sabrina tetap berdegil untuk pulang ke rumahnya sepertimana yang telah dijadualkannya. Rumahku, bisik Sabrina. Aku rindu rumahku. Tidak ada seorang pun atau apapun yang dapat menghalangiku untuk pulang ke rumahku sendiri. Tidak ribut. Tidak juga takdir.
Lampu kabin masih terpasang dan bunyi enjin masih kedengaran. Dua orang anak kapal dengan baju seragam biru gelap yang ketat mengikut potongan badan mundar-mandir di sepanjang lorong kabin. Beberapa kali mereka berdiri di sisinya untuk memastikannya memakai tali pinggang keselamatan. Perasaaan cemas terpancar jelas di wajah mereka. Sesekali mereka melirik pada Sabrina yang duduk mematung penuh anggun tanpa perasaan sama sekali. Ketakutan anak kapal itu juga dimaklumi Sabrina, tapi dia enggan merasa simpati. Ketakutan untuk mati adalah risiko pada semua perkerjaan. Aku sudah membayar mereka untuk mati di atas kapal ini, ketus Sabrina dalam hati. Tegar, Sabrina terus bertahan untuk tidak dipengaruhi oleh perasaan itu.
Pintu kokpit dibuka dan seorang juruterbang berjalan menuju ke arah Sabrina. Dia memakai seragam putih bersih dengan wajah yang berusaha di maniskan. Dia berhenti di sisi Sabrina dan mengagumi wajah cantik yang dimiliki oleh majikannya itu yang tidak pernah dimakan waktu. Rahangnya yang membentuk persegi dengan lekuk dagu yang meruncing cantik memberi kesan angkuh dan tidak tergoyahkan. Dia memakai dress hitam panjang yang begitu mengena pada kulitnya yang putih mulus. Cahaya lampu kabin yang kuning suram menjadikannya seperti seorang ratu yang angkuh. Entah bagaimana dia masih dapat setenang itu dalam keadaan yang begitu kalut, fikir Mikail. Dia malah sama sekali tidak menoleh meski dia tahu Mikail sedang berada di sisinya menunggu reaksinya.
Mikail menyapa penuh hormat. Begitu dia bersuara, Sabrina segera mengidu bau ketakutan dan kebimbangan yang melampau.
“Maaf puan, keadaan cuaca benar-benar tidak mengizinkan untuk kita meneruskan penerbangan ini. Cuaca diramal akan terus memburuk hingga besok pagi. Kita akan segera melakukan penerbangan balik ke Malaysia begitu cuaca sudah beransur baik. Saya berjanji akan melakukan penerbangan dengan kadar maksimum agar puan dapat sampai ke rumah dengan segera,” jelas Mikail penuh harap.
Tiada sahutan. Sabrina masih membuang pandangannya ke luar tingkap tanpa bergimang sedikitpun seolah-olah berita itu tidak sampai ke telinganya. Mikael menunggu seketika. Ketika kata-katanya masih tidak bersambut, dia lalu menarik nafas kesal. Sudah bertahun dia bekerja dengan Sabrina dan dia begitu memahami sikapnya. Keinginan Sabrina adalah tembok besi yang tidak akan pernah dapat dirobohkan. Kalau dia berniat pulang, maka dia sanggup melakukan apa saja untuk memastikan keinginan itu tercapai.
“Baiklah. Kita akan melakukan penerbangan dalam masa 10 minit lagi. Terima kasih, Puan,” balasnya menahan perasaan dengan senyum yang dipaksa. Sabrina mengangkat wajahnya dan melihat punggung Mikail yang beransur pergi.
“Mikail...” panggil Sabrina perlahan. Langkah Mikail terhenti lalu menoleh ke arah Sabrina. Segera dia berbalik dan menuju ke arah Sabrina.
“Ya, Puan?”
“Apakah kau takut mati?”
Seketika Mikail tertegun. Sungguh dia tidak menyangka sama sekali Sabrina akan menanyakan soalan itu kepadanya.
“Keselamatan puan dan nyawa anak-anak kapal adalah tanggungjawab saya sepenuhnya,” jawabnya perlahan.
“Amira sudah berapa tahun sekarang?” tanya Sabrina lagi. Amira adalah anak pertama Mikail. Kali terakhir Sabrina melihatnya adalah saat Amira dilahirkan di majlis kenduri kelahirannya. Semenjak itu Sabrina tidak pernah lagi melihatnya namun dia tidak pernah terlepas untuk memberikan hadiah ulang tahun Amira setiap tahun.
“5 tahun, puan,”
“Dia sudah punya adik?”
“Belum puan. Tapi Marina sedang mengandung anak kedua sekarang,”
Terdetak wajah terkejut dari muka Sabrina. “Oh? Berapa bulan?”
“Masuk bulan ke lapan. Dia dijangka melahirkan awal September,” balas Mikail tersenyum senang, membayangkan isterinya yang manis dengan perut besar sedang menunggunya di muka pintu bersama Amira.
Sabrina kembali berteleku dan membuang pandangannya ke luar tingkap. Seketika dahinya berkerut bila mendapati awan cumulus yang sejak tadi menguasai dada langit mula berarak pergi. Beberapa butir bintang mula kelihatan dari balik awan dengan warna yang masih kabur. Isyarat lampu kecemasan yang dipasang di landasan juga sudah berhenti berkelip. Sabrina tersenyum angkuh. Takdir telah menyebelahinya, fikirnya taksub. Tentu saja, Tuhan sudah banyak berhutang padaku dan merampas kehidupan laluku. Sekarang adalah masa untuk Dia membayar balik semua kesakitan itu.
Sabrina mengalihkan semula pandangannya pada Mikail. Matanya bersinar penuh kepuasan. Mikail tertegun melihat lampias kepuasan yang sukar diterjemahkannya. Perlahan, Mikail turut mengintai dari celah jendela untuk melihat keadaan cuaca di luar tingkap. Terpancar rasa terkejut dari wajahnya.
“Boleh kita bergerak sekarang, Mikail?” tanya Sabrina sekadar formaliti. Mikail menangguk laju-laju.
Sabrina tersenyum antara puas dan angkuh.
bersambung....